Showing posts with label Salah laku. Show all posts
Showing posts with label Salah laku. Show all posts

Saturday, 18 January 2020

LAGI ISU PENGGUNAAN MEDIA SOSIAL: KISAH PEKERJA YANG MENANG LAWAN MAJIKAN

1. Dalam posting saya bertarikh 20 Disember 2018, saya telah menerbitkan satu penulisan untuk menjawab persoalan berkenaan adakah majikan boleh mengambil tindakan terhadap pekerjanya untuk komen yang dibuat dalam media sosial. Alhamdulillah, penulisan tersebut saya kira mendapat respon yang baik dan telah memberi manfaat kepada ramai orang hasil ‘share’ oleh para pembaca sekalian di Facebook, terima kasih banyak-banyak saya ucapkan atas sokongan.

2. Berkenaan komen-komen daripada segelintir pembaca yang mengatakan seolah-olah saya cuba membela Caryn Yean walaupun jelas penulisan saya tersebut tidak bermaksud sedemikian, saya hanya berdoa agar mereka semua dapat dilapangkan hati dan minda agar dapat memahami kepentingan penulisan saya tempoh hari untuk dijadikan panduan dalam kehidupan seharian sama ada sebagai pekerja atau sebagai majikan.

3. Undang-undang berkenaan pekerja dan majikan atau lebih dikenali sebagai undang-undang buruh dalam negara kita ini adalah amat penting untuk diambil cakna oleh majoriti rakyat Malaysia kerana majoriti rakyat Malaysia ini jika bukan pekerja, adalah majikan. Ada beberapa peratus kecil sahaja daripada rakyat Malaysia yang berkerja sendiri tanpa majikan di atasnya dan tanpa pekerja di bawahnya yang mungkin mempunyai alasan yang munasabah untuk tidak perlu mempelajari berkenaan undang-undang buruh. Satu prinsip undang-undang yang masyhur mengatakan, ‘ignorantia juris non excusat’ yang bermaksud ‘ignorance of law is not an excuse’.

4. Jika tempoh hari, saya telah menceritakan tentang kedudukan undang-undang yang membenarkan majikan untuk mengambil tindakan displin terhadap pekerjanya berkenaan komen yang dibuatnya di media sosial sekiranya ianya boleh memprejudiskan dan memberikan kesan kepada majikan dengan berpandukan kes Mohd Azizi Sohan v Asian Kitchen (M) Sdn Bhd [2017] 3 MELR 601, hari ini saya hendak menceritakan pula tentang satu kes yang saya dan rakan sepasukan dalam firma saya (Cik Nur Amirah Mohd Pauzi dan En Anas Muhammad Shafiee) kendalikan sendiri, di bawah bimbingan Tuan Auzan Sazali, di Mahkamah Perusahaan yang mana anakguam kami telah ditamatkan perkhidmatan (dibuang kerja) oleh majikannya akibat posting-posting beliau di Facebook.

5. Kami baru mengetahui tentang keputusan kes anakguam kami ini pada hari ini walaupun Award telah dikeluarkan pada 2 Januari 2019 lagi (keputusan Mahkamah Perusahaan dikenali sebagai Award). Hal ini sebenarnya tidak pelik kerana tidak seperti Mahkamah biasa yang memberikan keputusan semasa pihak-pihak hadir ke Mahkamah, Award Mahkamah Perusahaan ini disampaikan kepada pihak-pihak hanya melalui pos dan juga melalui muat naik di laman web Mahkamah Perusahaan di www.mp.gov.my.

6. Alkisahnya, anakguam kami ini telah ditamatkan perkhidmatan pada pertengahan tahun 2016 oleh sebuah stesen televisyen terkemuka dalam negara disebabkan 48 Posting Facebook beliau yang dikatakan sebagai bersifat ‘anti-kerajaan’ dan memburuk-burukkan pemimpin negara pada waktu tersebut. Akibat daripada 48 Posting Facebook tersebut, anakguam kami telah dikenakan dengan lima (5) pertuduhan yang dikemukakan melalui Surat Tunjuk Sebab, diikuti dengan pendengaran dalam Siasatan Dalaman yang mana Panel Siasatan Dalaman telah mendapati anakguam kami telah bersalah untuk kelima-lima pertuduhan tersebut yang akhirnya membawa kepada keputusan majikan untuk menamatkan perkhidmatan beliau.

7. Apabila kita ingin menentukan sama ada seseorang itu adalah bersalah untuk sesesuatu pertuduhan, kita perlu terlebih dahulu mengetahui apakah butiran pertuduhan tersebut serta apakah peraturan yang telah dilanggari. Seseorang itu hanya dikatakan telah melakukan kesalahan, sekiranya terdapat undang-undang atau peraturan yang mengatakan perbuatan itu adalah salah. Jika tiada undang-undang atau peraturan yang mengatakan satu perbuatan itu adalah satu kesalahan, maka majikan tidak boleh sewenang-wenangnya mengatakan pekerjanya telah bersalah.

8. Dalam kes anakguam kami ini, beliau didakwa telah melanggar enam (6) peraturan dalam Buku Peraturan Syarikat akibat menerbitkan 48 Posting Facebook tersebut yang dikemukakan kepadanya melalui lima (5) pertuduhan. Antara peraturan yang kononnya telah dilanggar oleh anakguam kami ialah kerana telah merosakkan reputasi dan imej majikan. Maka sewaktu pemeriksaan balas saksi-saksi majikan, saya bertanyakan sama ada majikan mempunyai bukti yang reputasi dan imej majikan telah terjejas? Dukacitanya, majikan tidak boleh mengemukakan sebarang bukti yang boleh menunjukkan bahawa reputasi dan imej majikan telah terjejas. Saksi-saksi majikan hanya mengatakan bahawa penulisan pada 48 Posting Facebook tersebut sahaja sudah memadai untuk menunjukkan bahawa imej dan reputasi majikan telah terjejas.

9. Sudah pasti alasan yang diberikan oleh saksi-saksi majikan tersebut adalah amat tidak munasabah dan tidak masuk akal. Majikan tidak boleh sewenang-wenangnya mengatakan bahawa sesuatu penulisan pekerjanya di media sosial telah mencemarkan imej dan reputasi majikan dalam keadaan penulisan tersebut tidak ada merujuk atau menyatakan nama majikan pun. Tambahan pula, anakguam kami ini tidak ada menyatakan langsung dalam akaun Facebooknya yang beliau adalah merupakan pekerja kepada majikan tersebut. Malah, posting-posting tersebut adalah tidak tular. Jadi bagaimanakah majikan boleh tiba-tiba mengatakan bahawa 48 Posting Facebook anakguam kami tersebut telah mencemarkan imej dan reputasi majikan?

10. Satu lagi isu yang menarik, antara peraturan yang didakwa telah dilanggari oleh anakguam kami ialah terlibat dalam ‘aktiviti anti-kerajaan yang bertentangan dengan undang-undang’. Apabila saya menyoal balas saksi-saksi majikan untuk menunjukkan apakah ‘aktiviti anti-kerajaan yang bertentangan dengan undang-undang’ yang telah anakguam kami terlibat? Saksi-saksi majikan sekali lagi berkata memadai dengan berpandukan kepada matan kesemua 48 Posting Facebook tersebut semata. Saksi-saksi majikan juga tidak ada mengemukakan sebarang laporan polis yang kononnya anakguam kami telah terlibat dalam ‘aktiviti anti-kerajaan yang bertentangan dengan undang-undang’. Jadi bagaimanakah majikan boleh tiba-tiba mengatakan bahawa anakguam kami telah melanggar peraturan Syarikat kerana telah terlibat dalam 'aktiviti anti-kerajaan yang bertentangan dengan undang-undang'?

11. Memandangkan majikan tidak dapat mengemukakan bukti-bukti bagi menunjukkan yang anakguam kami sememangnya telah melanggari keenam-enam Peraturan Pihak Syarikat tersebut, maka Mahkamah Perusahaan telah memutuskan bahawa anakguam kami telah ditamatkan perkhidmatan oleh majikan secara tidak adil dan tanpa sebab yang munasabah (without just cause and excuse).

12. Apakah kesannya jika Mahkamah memutuskan bahawa pekerja tersebut telah ditamatkan perkhidmatan oleh majikan secara tidak adil dan tidak munasabah? Kesannya, majikan hendaklah membayar pampasan kepada pekerja tersebut dalam bentuk ganti rugi gaji ke belakang (backwages) dan ganti rugi sebagai ganti penerimaan kembali berkerja (compensation in lieu of reinstatement). Dalam kes anakguam kami ini, Mahkamah telah mengarahkan majikan untuk membayar ganti rugi berjumlah RM171,245-00 yang bersamaan dengan 29 bulan gaji anakguam saya. Ya, 29 bulan, jumlahnya bukan sedikit.

Petikan daripada Award Mahkamah Perusahaan

13. Moga berita hari ini akan membersihkan nama anakguam kami serta memberikan semangat baru kepada beliau untuk meneruskan kehidupan dan mencari pekerjaan baru insya Allah (beliau sudah tidak mendapat pekerjaan sejak ditamatkan perkhidmatan pada pertengahan tahun 2016).

14. Nasihat saya pula kepada majikan, jika hendak menamatkan perkhidmatan pekerja, silalah buat dengan mengikut undang-undang buruh yang telah ditetapkan. Satu tindakan yang amat bijak sekiranya majikan mengambil dahulu nasihat perundangan daripada mana-mana peguam sebelum membuat sebarang tindakan displin kepada pekerja. Walaupun benar ada kos yang perlu ditanggung untuk mendapatkan nasihat perundangan tersebut, namun saya percaya ianya jauh lebih berbaloi daripada kerugian yang bakal dialami majikan sekiranya diputuskan telah membuat kesalahan dalam menamatkan perkhidmatan pekerja sendiri.

Moga bermanfaat.

Marwan bin Abdullah
Peguambela & Peguamcara

P/s: Artikel ini telah diterbitkan pertama kali di Facebook Page Marwan Abdullah pada 9 Januari 2019 yang boleh dibaca pada pautan https://www.facebook.com/marwanabdullah89/photos/a.606936912818901/1044654502380471/?type=3&theater

BOLEHKAH MAJIKAN MENGAMBIL TINDAKAN TERHADAP PEKERJANYA UNTUK KOMEN YANG DIBUAT DALAM MEDIA SOSIAL?


1. Saya ingin menarik perhatian kepada keputusan syarikat Sri Utama Auto Sdn Bhd, sebuah syarikat pengedar kereta Honda, yang telah menamatkan perkhidmatan pekerjanya yang bernama Caryn Yean pada 20 Disember 2018 akibat komen tidak sensitif beliau di Facebook berkenaan kematian allahyarham saudara Muhammad Adib Mohd Kassim, seorang pegawai bomba yang telah terkorban akibat insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman baru-baru ini.

2. Komen tidak sensitif beliau tersebut adalah seperti berikut:

“Bkn kerajaan gagal… tuhan u yg gagal xsembuhkn adib”

3. Sebelum beliau telah ditamatkan perkhidmatan hari ini, beliau telah terlebih dahulu digantung perkhidmatan oleh syarikat Sri Utama Auto Sdn Bhd dua (2) hari sebelumnya iaitu pada 18 Disember 2018 yang disusuli dengan kenyataan daripada syarikat Honda Malaysia Sdn Bhd pada tarikh yang sama yang telah memohon maaf akibat komen Facebook yang telah dibuat tersebut.

4. Isu perundangan yang menarik untuk diteliti di sini ialah sejauhmanakah majikan boleh mengambil tindakan terhadap pekerjanya untuk komen yang dibuat dalam media sosial?

5. Saya ingin menarik perhatian kepada suatu kes yang telah diputuskan oleh Mahkamah Perusahaan pada tahun lepas (2017) iaitu kes Mohd Azizi Sohan v Asian Kitchen (M) Sdn Bhd [2017] 3 MELR 601 yang mana dalam kes ini, pekerja tersebut telah ditamatkan perkhidmatan oleh majikannya akibat telah mengutuk majikannya sendiri dalam Facebook.

6. Yang menariknya dalam kes ini, walaupun Mahkamah Perusahaan bersetuju bahawa kenyataan Facebook pekerja tersebut adalah merupakan satu salah laku (misconduct), namun Mahkamah memutuskan bahawa tindakan majikan yang telah menamatkan perkhidmatan pekerja tersebut adalah keterlaluan sekaligus menjadikan penamatan tersebut adalah tidak sah dan tidak munasabah (without just cause and excuse).

7. Keputusan Mahkamah Perusahaan dalam kes Mohd Azizi Sohan tersebut pada dasarnya boleh dirumuskan seperti berikut:

a) Setiap individu mempunyai hak untuk bersuara sepertimana yang telah dijamin dalam perkara 10 Perlembagaan Persekutuan termasuklah juga seorang pekerja;

b) Walaubagaimanapun, ianya hendaklah diseimbangkan juga dengan hak dan kemaslahatan majikan dalam memastikan displin pekerja dan reputasi majikan terpelihara;

c) Komen Facebook pekerja tersebut adalah merupakan satu salah laku (misconduct) memandangkan ianya boleh memprejudiskan dan memberi kesan kepada reputasi majikannya (prejudicial to the company and have a tendency to affect the reputation of the company);

d) Walaubagaimanapun, komen Facebook tersebut tidaklah menghancurkan langsung reputasi majikan (not destructive in nature) dan majikan juga tidak mengalami kesan yang amat teruk (grave repercussion) akibat komen Facebook tersebut;

e) Hal ini kerana komen Facebook tersebut hanya berlingkar dalam kalangan kawan-kawan Facebooknya sahaja (tidak tular); dan

f) Mahkamah mendapati bahawa ianya hanya merupakan tindakan lepas geram pekerja tersebut kepada majikan.

8. Berdasarkan keputusan Mahkamah Perusahaan di atas, kita boleh simpulkan bahawa majikan sememangnya boleh mengambil tindakan displin terhadap pekerjanya berkenaan komen yang dibuatnya di media sosial sekiranya ianya boleh memprejudiskan dan memberikan kesan kepada majikan.

9. Walaubagaimanapun, untuk majikan mengambil tindakan displin yang paling tinggi iaitu dengan menamatkan perkhidmatan pekerja tersebut, majikan hendaklah membuktikan bahawa komen di media sosial tersebut adalah bukan sahaja boleh memprejudiskan dan memberikan kesan kepada reputasi majikan, tetapi ianya juga hendaklah telah menghancurkan reputasi majikan serta memberikan kesan yang amat teruk kepada majikan.

10. Walaupun dalam kes Caryn Yean, faktanya mungkin agak berbeza dengan kes Mohd Azizi Sohan memandangkan Caryn Yean bukannya mengutuk majikannya. Namun komen Caryn Yean tersebut telah menarik perhatian orang ramai memandangkan ianya seolah-oleh memperolokkan agama yang dianuti oleh allahyarham Muhammad Adib.

11. Kita semua maklum bahawa tindakan memperolok-olokkan agama orang lain adalah sememangnya perkara yang amat sensitif dan tidak boleh diterima oleh sesiapa pun yang berakal, waras dan mempunyai hati budi. Tambahan pula, isu kematian allahyarham saudara Adib ini merupakan isu nasional yang sememangnya telah menarik perhatian seluruh lapisan masyarakat.

12. Justeru, dengan mengaplikasikan prinsip perundangan yang telah digariskan di atas ke dalam kes Caryn Yean ini, penamatan perkhidmatan Caryn Yean tersebut akan dikira sah dan munasabah (with just cause and excuse) jika majikan benar-benar boleh membuktikan bahawa komen Facebook beliau tersebut adalah benar-benar telah menghancurkan reputasi serta memberikan kesan yang amat teruk kepada majikan.

13. Bukti-bukti tersebut boleh didatangkan dalam bentuk tularnya komen tersebut sehingga masuk dalam media perdana, respon-respon balas oleh para pengguna Facebook lain yang mengutuk tindakan tersebut dan malah sehingga ada yang mengancam akan memboikot Honda, kerugian kewangan akibat tempahan-tempahan yang telah dibatalkan dan lain-lain. Yang penting, bukti-bukti tersebut hendaklah boleh dikaitkan dengan majikannya.

14. Dan jangan lupa, majikan tetap perlu beri ruang kepada pekerja untuk memberikan pembelaannya sebelum diberikan hukuman. Ini adalah merupakan apa yang dinamakan sebagai prinsip keadilan semula jadi (natural justice).

Marwan bin Abdullah
Peguambela & Peguamcara

P/s: Artikel ini telah diterbitkan pertama kali pada 20 Disember 2018 di Facebook Page Marwan Abdullah yang boleh dibaca pada pautan https://www.facebook.com/marwanabdullah89/photos/a.605923779586881/1032020383643883/?type=3&theater

AL-KISAH PERKERJA KILANG YANG DIBUANG KERJA

1. Saya mempunyai seorang anakguam yang telah dibuang kerja oleh majikannya yang merupakan sebuah syarikat kilang besar yang mempunyai ibu pejabat di negara luar.

2. Beliau telah dibuang kerja atas pertuduhan yang beliau telah gagal melaksanakan Ujian yang telah ditetapkan pada hari-hari tertentu diikuti dengan memalsukan data Ujian.

3. Dalam perjumpaan pertama saya dengan anakguam saya ditemani dua (2) orang wakil Kesatuan, kening saya terangkat, bagaimanakah Panel Siasatan Dalaman/Syarikat boleh begitu percaya bahawa anakguam saya telah tidak melaksanakan Ujian dan memalsukan data Ujian?



4. Saya cuba meneliti bukti-bukti yang dikemukakan khususnya minit Siasatan Dalaman, sekali lagi saya termenung kerana gagal menemukan apakah bukti yang telah disandarkan oleh Panel Siasatan Dalaman/Syarikat dalam membuktikan bahawa sememangnya anakguam saya yang telah tidak melakukan Ujian dan memalsukan data Ujian?


5. Adakah memang anakguam saya sahaja yang boleh melakukan Ujian tersebut? Anakguam saya dan dua (2) orang wakil Kesatuan tersebut kata tidak, malah ramai sahaja pekerja lain yang boleh membuat Ujian tersebut dan memalsukan data Ujian.

6. Sewaktu dalam perbicaraan penuh, bertalu-talu soalan pemeriksaan balas dilontarkan kepada saksi-saksi Syarikat dalam mencari jawapan kepada segala persoalan yang timbul.

7. Hasilnya, tiada saksi yang boleh membuktikan secara langsung bahawa anakguam saya yang telah tidak melaksanakan Ujian dan memalsukan data Ujian.

8. Ketika peringkat hujahan, Pihak Syarikat cuba membawa hujah circumstancial evidence berdasarkan fakta yang anakguam saya merupakan satu-satunya pekerja yang ditugaskan untuk membuat Ujian pada hari tersebut. Namun bukti-bukti dokumentari menunjukkan sebaliknya.

9. Khamis lepas, Mahkamah Perusahaan telah mengeluarkan Award memutuskan bahawa pembuangan kerja anakguam saya telah dibuat secara tidak sah dan tidak munasabah (without just cause and excuse) di atas imbangan kebarangkalian (balance of probablities).

10. Kesan daripada keputusan tersebut, Mahkamah telah mengarahkan Pihak Syarikat untuk membayar pampasan kepada Anakguam saya sebanyak 15 bulan gaji terakhir Anakguam saya.
Petikan daripada Award Mahkamah Perusahaan
Moga keadilan diberikan kepada mereka yang berhak!

Marwan bin Abdullah
Peguambela & Peguamcara

#KataPeguamBuruh
#AdilSaksamaRahmah

P/s: Artikel ini diterbitkan pertama kali pada 6 Oktober 2018 di Facebook Page Marwan Abdullah yang boleh dibaca pada pautan https://www.facebook.com/marwanabdullah89/photos/a.606936912818901/988103808035541/?type=3&theater

PENULISAN TERKINI

NAK BERHENTI KERJA TAK PERLUKAN PERSETUJUAN MAJIKAN!

1. Antara terma yang biasa ada dalam mana-mana kontrak perkhidmatan ialah pekerja atau majikan boleh menamatkan kontrak perkhidmatan tersebu...

PENULISAN POPULAR