1. Dalam posting saya bertarikh 20 Disember 2018, saya telah menerbitkan satu penulisan untuk menjawab persoalan berkenaan adakah majikan boleh mengambil tindakan terhadap pekerjanya untuk komen yang dibuat dalam media sosial. Alhamdulillah, penulisan tersebut saya kira mendapat respon yang baik dan telah memberi manfaat kepada ramai orang hasil ‘share’ oleh para pembaca sekalian di Facebook, terima kasih banyak-banyak saya ucapkan atas sokongan.
2. Berkenaan komen-komen daripada segelintir pembaca yang mengatakan seolah-olah saya cuba membela Caryn Yean walaupun jelas penulisan saya tersebut tidak bermaksud sedemikian, saya hanya berdoa agar mereka semua dapat dilapangkan hati dan minda agar dapat memahami kepentingan penulisan saya tempoh hari untuk dijadikan panduan dalam kehidupan seharian sama ada sebagai pekerja atau sebagai majikan.
3. Undang-undang berkenaan pekerja dan majikan atau lebih dikenali sebagai undang-undang buruh dalam negara kita ini adalah amat penting untuk diambil cakna oleh majoriti rakyat Malaysia kerana majoriti rakyat Malaysia ini jika bukan pekerja, adalah majikan. Ada beberapa peratus kecil sahaja daripada rakyat Malaysia yang berkerja sendiri tanpa majikan di atasnya dan tanpa pekerja di bawahnya yang mungkin mempunyai alasan yang munasabah untuk tidak perlu mempelajari berkenaan undang-undang buruh. Satu prinsip undang-undang yang masyhur mengatakan, ‘ignorantia juris non excusat’ yang bermaksud ‘ignorance of law is not an excuse’.
4. Jika tempoh hari, saya telah menceritakan tentang kedudukan undang-undang yang membenarkan majikan untuk mengambil tindakan displin terhadap pekerjanya berkenaan komen yang dibuatnya di media sosial sekiranya ianya boleh memprejudiskan dan memberikan kesan kepada majikan dengan berpandukan kes Mohd Azizi Sohan v Asian Kitchen (M) Sdn Bhd [2017] 3 MELR 601, hari ini saya hendak menceritakan pula tentang satu kes yang saya dan rakan sepasukan dalam firma saya (Cik Nur Amirah Mohd Pauzi dan En Anas Muhammad Shafiee) kendalikan sendiri, di bawah bimbingan Tuan Auzan Sazali, di Mahkamah Perusahaan yang mana anakguam kami telah ditamatkan perkhidmatan (dibuang kerja) oleh majikannya akibat posting-posting beliau di Facebook.
5. Kami baru mengetahui tentang keputusan kes anakguam kami ini pada hari ini walaupun Award telah dikeluarkan pada 2 Januari 2019 lagi (keputusan Mahkamah Perusahaan dikenali sebagai Award). Hal ini sebenarnya tidak pelik kerana tidak seperti Mahkamah biasa yang memberikan keputusan semasa pihak-pihak hadir ke Mahkamah, Award Mahkamah Perusahaan ini disampaikan kepada pihak-pihak hanya melalui pos dan juga melalui muat naik di laman web Mahkamah Perusahaan di www.mp.gov.my.
6. Alkisahnya, anakguam kami ini telah ditamatkan perkhidmatan pada pertengahan tahun 2016 oleh sebuah stesen televisyen terkemuka dalam negara disebabkan 48 Posting Facebook beliau yang dikatakan sebagai bersifat ‘anti-kerajaan’ dan memburuk-burukkan pemimpin negara pada waktu tersebut. Akibat daripada 48 Posting Facebook tersebut, anakguam kami telah dikenakan dengan lima (5) pertuduhan yang dikemukakan melalui Surat Tunjuk Sebab, diikuti dengan pendengaran dalam Siasatan Dalaman yang mana Panel Siasatan Dalaman telah mendapati anakguam kami telah bersalah untuk kelima-lima pertuduhan tersebut yang akhirnya membawa kepada keputusan majikan untuk menamatkan perkhidmatan beliau.
7. Apabila kita ingin menentukan sama ada seseorang itu adalah bersalah untuk sesesuatu pertuduhan, kita perlu terlebih dahulu mengetahui apakah butiran pertuduhan tersebut serta apakah peraturan yang telah dilanggari. Seseorang itu hanya dikatakan telah melakukan kesalahan, sekiranya terdapat undang-undang atau peraturan yang mengatakan perbuatan itu adalah salah. Jika tiada undang-undang atau peraturan yang mengatakan satu perbuatan itu adalah satu kesalahan, maka majikan tidak boleh sewenang-wenangnya mengatakan pekerjanya telah bersalah.
8. Dalam kes anakguam kami ini, beliau didakwa telah melanggar enam (6) peraturan dalam Buku Peraturan Syarikat akibat menerbitkan 48 Posting Facebook tersebut yang dikemukakan kepadanya melalui lima (5) pertuduhan. Antara peraturan yang kononnya telah dilanggar oleh anakguam kami ialah kerana telah merosakkan reputasi dan imej majikan. Maka sewaktu pemeriksaan balas saksi-saksi majikan, saya bertanyakan sama ada majikan mempunyai bukti yang reputasi dan imej majikan telah terjejas? Dukacitanya, majikan tidak boleh mengemukakan sebarang bukti yang boleh menunjukkan bahawa reputasi dan imej majikan telah terjejas. Saksi-saksi majikan hanya mengatakan bahawa penulisan pada 48 Posting Facebook tersebut sahaja sudah memadai untuk menunjukkan bahawa imej dan reputasi majikan telah terjejas.
9. Sudah pasti alasan yang diberikan oleh saksi-saksi majikan tersebut adalah amat tidak munasabah dan tidak masuk akal. Majikan tidak boleh sewenang-wenangnya mengatakan bahawa sesuatu penulisan pekerjanya di media sosial telah mencemarkan imej dan reputasi majikan dalam keadaan penulisan tersebut tidak ada merujuk atau menyatakan nama majikan pun. Tambahan pula, anakguam kami ini tidak ada menyatakan langsung dalam akaun Facebooknya yang beliau adalah merupakan pekerja kepada majikan tersebut. Malah, posting-posting tersebut adalah tidak tular. Jadi bagaimanakah majikan boleh tiba-tiba mengatakan bahawa 48 Posting Facebook anakguam kami tersebut telah mencemarkan imej dan reputasi majikan?
10. Satu lagi isu yang menarik, antara peraturan yang didakwa telah dilanggari oleh anakguam kami ialah terlibat dalam ‘aktiviti anti-kerajaan yang bertentangan dengan undang-undang’. Apabila saya menyoal balas saksi-saksi majikan untuk menunjukkan apakah ‘aktiviti anti-kerajaan yang bertentangan dengan undang-undang’ yang telah anakguam kami terlibat? Saksi-saksi majikan sekali lagi berkata memadai dengan berpandukan kepada matan kesemua 48 Posting Facebook tersebut semata. Saksi-saksi majikan juga tidak ada mengemukakan sebarang laporan polis yang kononnya anakguam kami telah terlibat dalam ‘aktiviti anti-kerajaan yang bertentangan dengan undang-undang’. Jadi bagaimanakah majikan boleh tiba-tiba mengatakan bahawa anakguam kami telah melanggar peraturan Syarikat kerana telah terlibat dalam 'aktiviti anti-kerajaan yang bertentangan dengan undang-undang'?
11. Memandangkan majikan tidak dapat mengemukakan bukti-bukti bagi menunjukkan yang anakguam kami sememangnya telah melanggari keenam-enam Peraturan Pihak Syarikat tersebut, maka Mahkamah Perusahaan telah memutuskan bahawa anakguam kami telah ditamatkan perkhidmatan oleh majikan secara tidak adil dan tanpa sebab yang munasabah (without just cause and excuse).
12. Apakah kesannya jika Mahkamah memutuskan bahawa pekerja tersebut telah ditamatkan perkhidmatan oleh majikan secara tidak adil dan tidak munasabah? Kesannya, majikan hendaklah membayar pampasan kepada pekerja tersebut dalam bentuk ganti rugi gaji ke belakang (backwages) dan ganti rugi sebagai ganti penerimaan kembali berkerja (compensation in lieu of reinstatement). Dalam kes anakguam kami ini, Mahkamah telah mengarahkan majikan untuk membayar ganti rugi berjumlah RM171,245-00 yang bersamaan dengan 29 bulan gaji anakguam saya. Ya, 29 bulan, jumlahnya bukan sedikit.
![]() |
Petikan daripada Award Mahkamah Perusahaan |
13. Moga berita hari ini akan membersihkan nama anakguam kami serta memberikan semangat baru kepada beliau untuk meneruskan kehidupan dan mencari pekerjaan baru insya Allah (beliau sudah tidak mendapat pekerjaan sejak ditamatkan perkhidmatan pada pertengahan tahun 2016).
14. Nasihat saya pula kepada majikan, jika hendak menamatkan perkhidmatan pekerja, silalah buat dengan mengikut undang-undang buruh yang telah ditetapkan. Satu tindakan yang amat bijak sekiranya majikan mengambil dahulu nasihat perundangan daripada mana-mana peguam sebelum membuat sebarang tindakan displin kepada pekerja. Walaupun benar ada kos yang perlu ditanggung untuk mendapatkan nasihat perundangan tersebut, namun saya percaya ianya jauh lebih berbaloi daripada kerugian yang bakal dialami majikan sekiranya diputuskan telah membuat kesalahan dalam menamatkan perkhidmatan pekerja sendiri.
Moga bermanfaat.
Marwan bin Abdullah
Peguambela & Peguamcara
P/s: Artikel ini telah diterbitkan pertama kali di Facebook Page Marwan Abdullah pada 9 Januari 2019 yang boleh dibaca pada pautan https://www.facebook.com/marwanabdullah89/photos/a.606936912818901/1044654502380471/?type=3&theater
P/s: Artikel ini telah diterbitkan pertama kali di Facebook Page Marwan Abdullah pada 9 Januari 2019 yang boleh dibaca pada pautan https://www.facebook.com/marwanabdullah89/photos/a.606936912818901/1044654502380471/?type=3&theater
No comments:
Post a Comment