Saturday, 18 January 2020

BOLEHKAH MAJIKAN MENGAMBIL TINDAKAN TERHADAP PEKERJANYA UNTUK KOMEN YANG DIBUAT DALAM MEDIA SOSIAL?


1. Saya ingin menarik perhatian kepada keputusan syarikat Sri Utama Auto Sdn Bhd, sebuah syarikat pengedar kereta Honda, yang telah menamatkan perkhidmatan pekerjanya yang bernama Caryn Yean pada 20 Disember 2018 akibat komen tidak sensitif beliau di Facebook berkenaan kematian allahyarham saudara Muhammad Adib Mohd Kassim, seorang pegawai bomba yang telah terkorban akibat insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman baru-baru ini.

2. Komen tidak sensitif beliau tersebut adalah seperti berikut:

“Bkn kerajaan gagal… tuhan u yg gagal xsembuhkn adib”

3. Sebelum beliau telah ditamatkan perkhidmatan hari ini, beliau telah terlebih dahulu digantung perkhidmatan oleh syarikat Sri Utama Auto Sdn Bhd dua (2) hari sebelumnya iaitu pada 18 Disember 2018 yang disusuli dengan kenyataan daripada syarikat Honda Malaysia Sdn Bhd pada tarikh yang sama yang telah memohon maaf akibat komen Facebook yang telah dibuat tersebut.

4. Isu perundangan yang menarik untuk diteliti di sini ialah sejauhmanakah majikan boleh mengambil tindakan terhadap pekerjanya untuk komen yang dibuat dalam media sosial?

5. Saya ingin menarik perhatian kepada suatu kes yang telah diputuskan oleh Mahkamah Perusahaan pada tahun lepas (2017) iaitu kes Mohd Azizi Sohan v Asian Kitchen (M) Sdn Bhd [2017] 3 MELR 601 yang mana dalam kes ini, pekerja tersebut telah ditamatkan perkhidmatan oleh majikannya akibat telah mengutuk majikannya sendiri dalam Facebook.

6. Yang menariknya dalam kes ini, walaupun Mahkamah Perusahaan bersetuju bahawa kenyataan Facebook pekerja tersebut adalah merupakan satu salah laku (misconduct), namun Mahkamah memutuskan bahawa tindakan majikan yang telah menamatkan perkhidmatan pekerja tersebut adalah keterlaluan sekaligus menjadikan penamatan tersebut adalah tidak sah dan tidak munasabah (without just cause and excuse).

7. Keputusan Mahkamah Perusahaan dalam kes Mohd Azizi Sohan tersebut pada dasarnya boleh dirumuskan seperti berikut:

a) Setiap individu mempunyai hak untuk bersuara sepertimana yang telah dijamin dalam perkara 10 Perlembagaan Persekutuan termasuklah juga seorang pekerja;

b) Walaubagaimanapun, ianya hendaklah diseimbangkan juga dengan hak dan kemaslahatan majikan dalam memastikan displin pekerja dan reputasi majikan terpelihara;

c) Komen Facebook pekerja tersebut adalah merupakan satu salah laku (misconduct) memandangkan ianya boleh memprejudiskan dan memberi kesan kepada reputasi majikannya (prejudicial to the company and have a tendency to affect the reputation of the company);

d) Walaubagaimanapun, komen Facebook tersebut tidaklah menghancurkan langsung reputasi majikan (not destructive in nature) dan majikan juga tidak mengalami kesan yang amat teruk (grave repercussion) akibat komen Facebook tersebut;

e) Hal ini kerana komen Facebook tersebut hanya berlingkar dalam kalangan kawan-kawan Facebooknya sahaja (tidak tular); dan

f) Mahkamah mendapati bahawa ianya hanya merupakan tindakan lepas geram pekerja tersebut kepada majikan.

8. Berdasarkan keputusan Mahkamah Perusahaan di atas, kita boleh simpulkan bahawa majikan sememangnya boleh mengambil tindakan displin terhadap pekerjanya berkenaan komen yang dibuatnya di media sosial sekiranya ianya boleh memprejudiskan dan memberikan kesan kepada majikan.

9. Walaubagaimanapun, untuk majikan mengambil tindakan displin yang paling tinggi iaitu dengan menamatkan perkhidmatan pekerja tersebut, majikan hendaklah membuktikan bahawa komen di media sosial tersebut adalah bukan sahaja boleh memprejudiskan dan memberikan kesan kepada reputasi majikan, tetapi ianya juga hendaklah telah menghancurkan reputasi majikan serta memberikan kesan yang amat teruk kepada majikan.

10. Walaupun dalam kes Caryn Yean, faktanya mungkin agak berbeza dengan kes Mohd Azizi Sohan memandangkan Caryn Yean bukannya mengutuk majikannya. Namun komen Caryn Yean tersebut telah menarik perhatian orang ramai memandangkan ianya seolah-oleh memperolokkan agama yang dianuti oleh allahyarham Muhammad Adib.

11. Kita semua maklum bahawa tindakan memperolok-olokkan agama orang lain adalah sememangnya perkara yang amat sensitif dan tidak boleh diterima oleh sesiapa pun yang berakal, waras dan mempunyai hati budi. Tambahan pula, isu kematian allahyarham saudara Adib ini merupakan isu nasional yang sememangnya telah menarik perhatian seluruh lapisan masyarakat.

12. Justeru, dengan mengaplikasikan prinsip perundangan yang telah digariskan di atas ke dalam kes Caryn Yean ini, penamatan perkhidmatan Caryn Yean tersebut akan dikira sah dan munasabah (with just cause and excuse) jika majikan benar-benar boleh membuktikan bahawa komen Facebook beliau tersebut adalah benar-benar telah menghancurkan reputasi serta memberikan kesan yang amat teruk kepada majikan.

13. Bukti-bukti tersebut boleh didatangkan dalam bentuk tularnya komen tersebut sehingga masuk dalam media perdana, respon-respon balas oleh para pengguna Facebook lain yang mengutuk tindakan tersebut dan malah sehingga ada yang mengancam akan memboikot Honda, kerugian kewangan akibat tempahan-tempahan yang telah dibatalkan dan lain-lain. Yang penting, bukti-bukti tersebut hendaklah boleh dikaitkan dengan majikannya.

14. Dan jangan lupa, majikan tetap perlu beri ruang kepada pekerja untuk memberikan pembelaannya sebelum diberikan hukuman. Ini adalah merupakan apa yang dinamakan sebagai prinsip keadilan semula jadi (natural justice).

Marwan bin Abdullah
Peguambela & Peguamcara

P/s: Artikel ini telah diterbitkan pertama kali pada 20 Disember 2018 di Facebook Page Marwan Abdullah yang boleh dibaca pada pautan https://www.facebook.com/marwanabdullah89/photos/a.605923779586881/1032020383643883/?type=3&theater

No comments:

Post a Comment

PENULISAN TERKINI

NAK BERHENTI KERJA TAK PERLUKAN PERSETUJUAN MAJIKAN!

1. Antara terma yang biasa ada dalam mana-mana kontrak perkhidmatan ialah pekerja atau majikan boleh menamatkan kontrak perkhidmatan tersebu...

PENULISAN POPULAR