Wednesday, 3 March 2021

CONSTRUCTIVE DISMISSAL: MAHKAMAH TINGGI BERSETUJU ARAHAN PERPINDAHAN PEKERJA BERNIAT JAHAT

1. Pagi ini telah ditetapkan untuk keputusan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Permohonan Semakan Kehakiman (Judicial Review) oleh Majikan yang telah tewas sebelum ini di Mahkamah Perusahaan Kuala Lumpur dengan bekas pekerjanya yang merupakan Anak guam Kami.

2. Suasana menjadi sangat janggal apabila kami bertiga sepasukan terpaksa menerima keputusan pada pagi ini hanya melalui pertukaran e-mel sahaja disebabkan oleh isu penularan wabak Covid-19 dan pelaksanaan PKPB.

3. Jikalau kebiasaan sebelum ini kami perlu hadir ke Mahkamah untuk mendengar keputusan Hakim dibacakan sambil memakai jubah peguam dan menarik beg hitam beroda dengan gahnya (gaya itu penting!). Kali ini masing-masing hanya perlu menanti e-mel daripada Mahkamah memaklumkan keputusannya. Ada yang menantinya di pejabat, ada pula yang tengah menunggu giliran di Klinik Kesihatan Pergigian dan ada pula yang tengah memasak.

4. Walaupun hanya perlu menanti e-mel, perasaan gelabahnya tetap luar biasa. Kata orang, “penantian itu suatu penyeksaan!”.

5. Kes Anak guam Kami ini adalah berkenaan kes penamatan perkhidmatan secara konstruktif (constructive dismissal). Beliau telah berkerja dengan Majikannya hampir enam (6) tahun sebagai Eksekutif Perakaunan. Pada tahun keenam pekerjaannya, beliau telah dinaik pangkat sebagai Pengurus Bahagian Akaun & Kewangan dengan percubaan (probation) selama enam (6) bulan. Sudah tentu ini merupakan satu perkara yang amat menggembirakan kepada beliau!

6. Namun tiba-tiba pada lapan (8) hari kemudiannya, beliau telah dipindahkan ke Bahagian Jualan & Pemasaran berkuatkuasa pada tarikh lapan (8) hari sebelumnya dengan jawatan sebagai Pembantu Pengurus Bahagian Pentadbiran & Pemantauan Projek Jualan.

7. Daripada fakta ini sahaja sudah boleh menimbulkan banyak pertanyaan antaranya:

7.1. Mengapa Anak guam Kami yang baru dinaikkan pangkat menjadi Pengurus tiba-tiba dipindahkan ke Bahagian lain sebagai Pembantu Pengurus lapan (8) hari kemudiannya? 

7.2. Sudahlah dipindahkan ke Bahagian lain lapan (8) hari kemudiannya, mengapa pula ianya dikuatkuasakan secara retrospektif pada lapan (8) hari sebelumnya iaitu betul-betul pada hari yang sama beliau dinaikkan pangkat sebagai Pengurus Bahagian Akaun & Kewangan?

7.3. Beliau sudah pun mencurahkan pengalaman dan kepakaran beliau di Bahagian Akaun & Kewangan selama lima (5) tahun sebelum ini tanpa sebarang masalah, mengapa tiba-tiba dipindahkan ke Bahagian Jualan & Pemasaran yang beliau tidak mempunyai sebarang pengalaman atau kemahiran? 

7.4. Beliau baru sahaja dinaikkan pangkat sebagai Pengurus dengan percubaan selama enam (6) bulan, kenapa diturunkan menjadi Pembantu Pengurus pula?

7.5. Apa jadi dengan kenaikan pangkat beliau sebagai Pengurus Bahagian Kewangan & Perakaunan tersebut? Masih berjalan atau tidak?

8. Fakta di atas seolah-olah menunjukkan seperti wujudnya pergelutan kuasa (power struggle) dalam kalangan ahli pengurusan Majikan yang mana seorang mahu menaikkan pangkat Anak guam Kami manakala yang seorang lagi tidak mahu.

9. Hal ini mengingatkan saya kepada seorang pemain bola sepak yang bernama Robbie Keane. Beliau baru sahaja dibeli oleh Liverpool dari Tottenham Hotspurs pada Julai 2008, tetapi tiba-tiba dijual semula ke Tottenham Hotspurs pada Februari 2009 disebabkan oleh pergelutan kuasa yang berlaku antara Pengurus Liverpool, Rafael Benitez dan Pemilik Kelab Liverpool pada masa tersebut.

10. Tidak cukup dengan itu, dua (2) bulan kemudiannya Anak guam Kami telah diarahkan untuk berpindah ke Cawangan Majikan di Ipoh dari Ibu Pejabat Majikan di Bandar Baru Bangi, Selangor. Mengapa pula kali ini?

11. Undang-undang sememangnya tidak menafikan bahawa Majikan mempunyai budi bicaranya untuk mengarahkan perpindahan pekerjanya ke bahagian/cawangan Majkan yang lain lebih-lebih lagi sekiranya klausa perpindahan tersebut sememangnya telah sedia termaktub dalam kontrak perkhidmatan.

12. Walau bagaimanapun, undang-undang juga mengatakan bahawa arahan perpindahan tersebut tidak boleh dibuat dengan niat jahat (mala fide) dan/atau dengan tujuan penganiayaan (victimization) sepertimana yang telah diterima oleh Mahkamah Rayuan dalam kes Ladang Holyrood v. Ayasamy Manikam & Ors [2004] 1 MLRA 341 seperti yang berikut:

The power to transfer is, therefore, subject to, according to Ghaiye's Misconduct in Employment (at pages 254 and 255), the following well recognised restrictions:

(a) there is nothing to the contrary in the terms of employment;

(b) the management has acted bona fide and in the interests of its business;

(c) the management is not actuated by any indirect motive or any kind of mala fide;

(d) the transfer is not made for the purpose of harassing and victimising the workmen; and

(e) the transfer does not involve a change in the conditions of service.”

13. Dalam kes Anak guam Kami ini, Majikan semasa perbicaraan di Mahkamah Perusahaan tidak dapat menjustifikasikan langsung arahan perpindahan tersebut sama ada perpindahan dari Bahagian Akaun & Kewangan ke Bahagian Jualan & Pemasaran atau dari Ibu Pejabat di Bandar Baru Bangi ke Cawangan di Ipoh. Malah, keterangan-keterangan yang diberikan oleh saksi-saksi Majikan adalah bercanggah antara satu sama lain yang menimbulkan banyak persoalan tentang ketulenan arahan perpindahan tersebut.

14. Hal ini menyebabkan Mahkamah Perusahaan memutuskan bahawa Anak guam Kami telah berjaya membuktikan yang beliau telah ditamatkan perkhidmatan secara konstruktif sekaligus menjadikan penamatan perkhidmatan beliau tersebut sebagai tidak adil dan tidak munasabah (without just cause and excuse).

15.Dan pada pagi ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur juga telah bersetuju dengan keputusan Mahkamah Perusahaan tersebut!

Semoga kemenangan diberikan kepada mereka yang berhak insya Allah.

Marwan bin Abdullah

Peguambela & Peguamcara

P/s: Artikel ini telah diterbitkan pertama kali di Facebook Page Marwan Abdullah pada 3 Mac 2021 yang boleh dibaca pada pautan https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1664345427078039&id=605200929659166   

Pampasan yang diberikan oleh Mahkamah Perusahaan

No comments:

Post a Comment

PENULISAN TERKINI

NAK BERHENTI KERJA TAK PERLUKAN PERSETUJUAN MAJIKAN!

1. Antara terma yang biasa ada dalam mana-mana kontrak perkhidmatan ialah pekerja atau majikan boleh menamatkan kontrak perkhidmatan tersebu...

PENULISAN POPULAR