1. Antara terma yang biasa ada dalam mana-mana kontrak perkhidmatan ialah pekerja atau majikan boleh menamatkan kontrak perkhidmatan tersebut dengan dua (2) cara.
2. Cara pertama ialah pekerja atau majikan perlu memberikan notis untuk satu tempoh yang tertentu. Biasanya tiga (3) bulan untuk pekerja tetap.
3. Contohnya (bagi kes pekerja yang tempoh notisnya tiga (3) bulan), jika pekerja itu telah menghantar notis berhenti kerja pada 1 April 2021, maka pekerja tersebut hendaklah terus berkerja dengan majikannya selama tiga (3) bulan lagi (sehingga 31 Julai 2021) dengan berbayar sebagai memenuhi tuntutan notis beliau. Tarikh berkuatkuasa penamatan perkhidmatan beliau ialah pada 31 Julai 2021.
4. Cara kedua pula ialah pekerja atau majikan boleh menamatkan perkhidmatan pekerja tersebut secara serta merta dengan membayar gaji bagi menggantikan tempoh notis pekerja tersebut.
5. Contohnya (bagi kes pekerja yang tempoh notisnya tiga (3) bulan), jika pekerja tersebut menghantar notis berhenti kerja yang berkuatkuasa secara serta merta pada 1 April 2021, maka pekerja tersebut boleh meninggalkan majikannya terus pada 1 April 2021 tersebut tetapi perlu membayar tiga (3) bulan gajinya sebagai gaji ganti notis. Tarikh berkuatkuasa penamatan perkhidmatan beliau ialah pada 1 April 2021.
6. Cuma persoalan timbul, bolehkah majikan menolak permohonan seseorang perkerja untuk menamatkan kontrak perkhidmatan beliau yakni berhenti kerja?
7. Jawapannya tidak.
8. Hal ini sepertimana yang boleh dilihat dalam Award Mahkamah Perusahaan Kuala Lumpur dalam kes Rozainah Awang v. MISC Berhad [2020] MELRU 1143 yang juga telah diguna pakai oleh Mahkamah Perusahaan dalam kes-kes yang lain sebelum ini seperti yang berikut:
“The giving of a notice terminating a contractual employment, whether by employee or employer, is the exercise of the right under the contract of employment to bring the contract to an end, either immediately or in the future. It is a unilateral act, requiring no acceptance by the other party, and like a notice to quit a tenancy, once given it cannot in my view be withdrawn save by mutual consent.”
9. Dengan kata lain, jika pekerja ingin berhenti kerja, beliau tidak memerlukan persetujuan majikan, sepertimana juga jika majikan ingin memberhentikan pekerjanya, majikan tidak perlukan persetujuan pekerja.
10. Jika pekerja nak berhenti kerja pun kena dapatkan persetujuan majikan, itu dah boleh dikira sebagai “perhambaan moden”.
11. Sementara jika majikan nak berhentikan pekerja pun kena dapatkan persetujuan pekerja, majikan pula yang akan jadi hamba pekerja yang mana ianya lebih tidak masuk akal. Namun majikan tetap perlu ingat bahawa dalam suatu penamatan kontrak perkhidmatan pekerja yakni pemberhentian pekerja, majikan mempunyai beban tambahan iaitu penamatan tersebut hendaklah disokong dengan sebab dan alasan yang adil (with just cause and excuse).
12. Selain daripada itu, kes Rozainah Awang tersebut juga menyatakan bahawa jika pekerja atau majikan telah menamatkan kontrak perkhidmatan pekerja tersebut, maka pekerja atau majikan tidak boleh menarik balik penamatan tersebut melainkan dengan persetujuan pihak yang satu lagi.
13. Dengan kata lain, pekerja perlu berfikir semasak-masaknya sebelum memberikan notis berhenti kerja kerana sebaik sahaja ianya diberikan, pekerja tersebut tidak boleh menarik balik notis tersebut melainkan dengan persetujuan majikan.
Semoga bermanfaat.
Marwan bin Abdullah
Peguambela & Peguamcara
P/s: Artikel ini telah diterbitkan pertama kali di Facebook Page Marwan Abdullah pada 19 April 2021 yang boleh dibaca pada pautan https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1699804266865488&id=605200929659166