Tuesday, 18 February 2020

CONSTRUCTIVE DISMISSAL: CARA SAH PEKERJA MENGHUKUM MAJIKAN YANG ZALIM




1. Apakah yang boleh dilakukan pekerja sekiranya tidak berpuas hati dengan tindakan majikan yang zalim dan melakukan penganiayaan terhadapnya?


2. Ada sesetengah kes, pekerja boleh membuat aduan di Jabatan Tenaga Kerja (yang lebih dikenali ramai sebagai Mahkamah Buruh).

3. Ada juga sesetengah kes yang mana pekerja boleh membuat aduan ke Kesatuan Kerja (Union).

4. Namun, jika jalan sudah buntu, biasanya pekerja tiada pilihan lain selain daripada meletakkan jawatan (resign).

5. Majikan pun berasa gembira dengan peletakan jawatan pekerja tersebut memandangkan pekerja yang menimbulkan ‘masalah’ selama ini telah pun hilang daripada pandangan.

6. Pekerja pula berasa tidak puas hati kerana merasakan dirinya dizalimi dan teraniaya oleh majikan tanpa sebarang pengajaran diberikan kepada majikan.

7. Namun, tahukah anda bahawa terdapat satu mekanisme yang dibenarkan oleh undang-undang untuk pekerja menghukum majikan yang zalim?

8. Jawapannya ialah ‘Constructive Dismissal’ atau dalam Bahasa Melayunya, ‘Penamatan Perkhidmatan Secara Konstruktif’.

9. Apakah itu Constructive Dismissal?

10. Pada dasarnya, Constructive Dismissal adalah suatu keadaan di mana pekerja sendiri yang menganggap dirinya telah ditamatkan perkhidmatan oleh majikan kerana majikan telah memecah mungkir terma-terma asas kontrak perkhidmatan atau majikan telah menunjukkan niat untuk tidak lagi terikat dengan kontrak perkhidmatan tersebut.

11. Doktrin Constructive Dismissal ini berasal daripada Common Law yang telah diiktiraf di Malaysia sepertimana yang dinyatakan oleh Mahkamah Agung dalam kes Wong Chee Hong v Cathay Organisation Malaysia Sdn Bhd [1987] 1 MLRA 349 seperti yang berikut:

“The common law has always recognized the right of an employee to terminate his contract of service and therefore to consider himself as discharged from further obligations if the employer is guilty of such breach as effects the foundation of the contract or if the employer has evinced or shown an intention not to be bound by it any longer. It was an attempt to enlarge the right of the employee of unilateral termination of his contract beyond the perimeter of the common law by an unreasonable conduct of his employer that the expression “constructive dismissal” was used.”

12. Jadi setelah pekerja menganggap dirinya telah ditamatkan perkhidmatan secara konstruktif oleh majikan, apa yang akan berlaku?

13. Jawapannya ialah pekerja tersebut hendaklah membuat representasi ke Jabatan Perhubungan Perusahaan dan seterusnya ke Mahkamah Perusahaan untuk membuat tuntutan perkhidmatan secara tidak sah berdasarkan Constructive Dismissal.

14. Hal ini kerana sekiranya Constructive Dismissal tersebut berjaya dibuktikan di hadapan Mahkamah Perusahaan nanti, maka penamatan pekerja tersebut akan dikira sebagai tidak sah yang mana majikan hendaklah membayar ganti rugi kepada pekerja tersebut walaupun majikan tersebut tidak pernah menamatkan perkhidmatan pekerja tersebut.

15. Kiranya, walaupun pekerja itu sendiri yang menganggap dirinya telah ditamatkan perkhidmatan oleh majikan, tetapi doktrin Constructive Dismissal akan menjadikan seolah-olah majikan yang telah menamatkan perkhidmatan pekerja tersebut secara tidak sah (selepas dibuktikan di Mahkamah Perusahaan).

16. Jadi, alang-alang pekerja sudah tidak tahan lagi untuk bekerja dengan majikan kerana kezaliman majikan tersebut terhadapnya, lebih baik pekerja tersebut membuat Constructive Dismissal. Dapatlah juga memberi pengajaran kepada majikan dengan pembayaran ganti rugi daripada meletakkan jawatan yang tidak memberikan pulangan apa-apa kepada pekerja.

17. Namun kena ingat, untuk mengelakkan daripada timbulnya fenomena yang mana pekerja boleh sesuka hati mengatakan yang dirinya telah ditamatkan perkhidmatan secara konstruktif oleh majikan, undang-undang telah menetapkan syarat-syarat yang berat dan ketat kepada pekerja untuk membuktikannya di Mahkamah Perusahaan.

18. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan syarat-syarat tersebut, kita akan bincang di penulisan seterusnya.

Semoga bermanfaat.

Marwan bin Abdullah
Peguambela & Peguamcara


P/s: Artikel ini telah diterbitkan pertama kali di Facebook Page Marwan Abdullah pada 19 Januari 2020 yang boleh dibaca pada pautan https://web.facebook.com/marwanabdullah89/posts/1326487114197207?__tn__=K-R

PENULISAN TERKINI

NAK BERHENTI KERJA TAK PERLUKAN PERSETUJUAN MAJIKAN!

1. Antara terma yang biasa ada dalam mana-mana kontrak perkhidmatan ialah pekerja atau majikan boleh menamatkan kontrak perkhidmatan tersebu...

PENULISAN POPULAR